Siapa tidak suka barangan murah? Mengikut pandangan kami, kebanyakan rakyat Malaysia gemar membelanjakan wang mereka pada musim jualan murah - dan menjadi haji bakhil pada hari-hari lain. Para pembaca, jangan terasa pula ya! Kami juga begitu.
Namun kami tertanya-tanya, selain daripada barangan yang ada logo "SALE", sanggupkah rakyat Malaysia mengeluarkan wang untuk tujuan lain? Mungkin sesetengah anda akan berkompromi apabila membeli kereta, rumah, keluarga (atau apabila sedang mengurat cinta hati!)?
Untuk mendapatkan jawapannya, kami memulakan kaji selidik secara online di laman Facebook kami. Selepas satu kajian yang panjang, berikut merupakan maklum balas yang kami terima.
Kami tidak Kedekut - Perbelanjaan Penting menurut Rakyat Malaysia
Pendidikan
“Saya tidak akan berjimat untuk pendidikan. Pendidikan membentuk seseorang”
Pendidikan di peringkat tinggi di sebuah universiti kerajaan atau swasta bukanlah murah, tetapi rakyat Malaysia rela menghabiskan duit yang banyak asalkan menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak mereka. Di Malaysia, perbelanjaan seseorang pelajar adalah sekurang-kurangnya RM30,000 dan ke atas bagi ijazah yang didambakan.
Cara untuk menyimpan Wang: Menggalakkan anak-anak anda untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM mereka dan menggilap kemahiran temuduga mereka. Terdapat banyak biasiswa yang terdapat di Malaysia yang boleh membantu membayar yuran pengajian yang membebankan untuk pelajar cemerlang di negara ini.
Fesyen
“Fesyen, sebab saya mahu menarik perhatian si dia”
Fashionista dan Diva-Diva tidak ragu-ragu apabila membeli-belah pakaian. Negara kita pula bukan saja kaya dengan flora dan fauna; tempat membeli-belah juga banyak! JPO, KLCC dan Pavilion - Malaysia adalah syurga berbelanja besar untuk fesyen yang bergaya. Lupakan marathon atau gimnasium; membeli-belah selama 6 jam berturut-turut memberikan latihan yang lengkap untuk badan (dan dompet) anda.
RM500 untuk akaun deposit tetap? Hanya jika bank itu adalah Marc Jacobs.
Cara untuk menyimpan Wang: Jangan pergi shopping! Penggemar membeli-belah juga boleh cuba melawat kedai-kedai vintaj untuk mengurangkan bajet perbelanjaan bulanan. Setiap kali anda ingin membeli barangan yang tidak perlu, tanya diri anda terlebih dahulu: "Bolehkah saya makan barangan tersebut apabila saya lapar" Majoritinya jawapan adalah "Tidak".
Buku
“Buku! Kerana ilmu pengetahuan sangat berharga”
Zaman kanak-kanak kita tidak akan lengkap tanpa pengembaraan si Peter dan Jane. Tanpa buku, bagaimana kita akan tahu cara untuk mengelak kapal-kapal besar semasa belayar di laut?
Demi cinta kepada Jalaluddin Rumi, Ahadiat Akashah, dan Leo Tolstoy, penggemar buku sanggup menukar bajet bulanan mereka dan berbelanja sehingga beratus-ratus ringgit di kedai buku. Ssetengah orang mungkin terasa seperti ini satu pembaziran; tapi jika anda fikirkan, Apple iPhone 5S (dijual pada harga RM2,699) mempunyai jangka hayat kira-kira 3 tahun (yang pada masa tersebut anda sudah bosan dan mahu upgrade ke Apple iPhone 7S). Sementara itu, buku dan pengetahuan boleh bertahan selama-lamanya. Itulah yang membuatkannya tidak ternilai.
Kerajaan Malaysia telah pun melancarkan "Kempen Membaca Buku" untuk menggalakkan anak muda Malaysia membuka buku dan bukan PlayStation 3. Membelanjakan wang untuk buku-buku untuk anda dan anak-anak anda adalah jauh lebih murah daripada membeli alat permainan atau gajet.
Cara untuk menyimpan Wang: Terdapat banyak kedai-kedai buku terpakai yang anda boleh lawati pada masa lapang. Ulat buku juga boleh meihat e-buku percuma, atau Semak Jualan Buku Big Bad Wolfatau BookXcess untuk mencari buku-buku baru pada harga diskaun.
Barangan Rumah
“Untuk menggalakkan kebersihan yang lebih baik di rumah saya supaya saya dan keluarga dilindungi daripada kuman dan virus”
Menurut maklum balas yang telah kami terima, rakyat Malaysia tidak kisah berbelanja lebih untuk barangan rumah, terutamnya produk kebersihan. Kami berasa lega kerana ramai orang lebih mementingkan kebersihan daripada wang!
Cara untuk menyimpan Wang: Dengan membeli jenama supermarket dan bukan jenama mahal. Sebahagian besar produk pembersihan yang kita gunakan tidak banyak beza pun antara satu sama lain. Melainkan jika jenama yang anda gunakan betul-betul berkesan, lebih jimat jika anda membeli barangan jenama supermarket saja.
Makanan
“Hidup sangat singkat jika tidak menikmati makanan. Makanan memberikan kita tenaga untuk mencari rezeki untuk membolehkan kita makan lebih banyak”
Suasana restoran Malaysia sentiasa sibuk tidak kiralah sama ada di gerai tepi jalan atau tempat mewah. Sebagai manusia, kita memang tertarik terhadap semua benda lazat; apalah nak hairankan sangat bil restoran RM150 sekali-sekala? Err..betul tak?
Sama seperti Maria Tunku Sabri, rakyat Malaysia tidak kisah "jalan-jalan cari makan" dan berbelanja besar untuk bayaran tol - Ipoh, Penang, Johor, KL? Sebut saja "makanan sedap", dan tentunya penggemar makanan akan datang!
Malangnya, cinta mendalam terhadap Char Kuey Teow tidak menghentikan harga makan daripada meningkat tahun demi tahun. Di KL, RM10 hingga RM20 untuk makan tengah hari dianggap sebagai normal; maksudnya anda harus berbelanja sehingga RM50 atau RM100 seminggu!
Cara untuk menyimpan Wang: Untuk makan tengah hari, apa kata anda membawa bekal sendiri ke pejabat (atau sekurang-kurangnya bungkus nasi kosong dan minuman anda sendiri untuk menjimatkan wang)? Untuk makan malam, jangan membazir dan elakkan makan di restoran mahal setiap hari!
Isteri
“Isteri anda – Penjimatan di sini akan memberi kesan buruk seumur hidup!”
"Isteri gembira, hidup pun gembira". Tiada penjelasan lanjut diperlukan.
Cara untuk menyimpan Wang: Alamak! Tetapkan bajet isi rumah bulanan bersama isteri anda dan terangkan secara baik mengapa anda tidak boleh membeli kasut baru jenama Charles & Keith setiap bulan - anda perlu menabung untuk hari tua, dan kasut Charles & Keith RM250 / tudung Fareeda RM300 / Bag Coach RM1,500 bukanlah satu pelaburan yang menguntungkan!