public-gold-logo-maroon
Melancong dan Berjimat
Home » Travel  »  Melancong dan Berjimat
Melancong dan Berjimat
planning-budget-travel

Apabila melancong, walau kemana juga destinasi pilihan anda, yang paling penting ialah keselesaan, kepuasan hati serta harga yang dibayar berbaloi dengan apa yang diterima.  Ada banyak pakej percutian yang terdapat di pasaran sehingga pening untuk kita memilih yang mana satukah paling berbaloi dengan belanjawan makan angin.

Kami disini mengambil berat tentang jumlah wang yang anda belanjakan ketika melancong serta ingin merealisasikan impian anda yang ingin melancong lebih kerap dalam setahun.  Beberapa tips dan panduan berikut bertujuan membantu anda dalam membuat keputusan yang betul disamping memungkinkan anda membayar harga lebih baik untuk aktiviti pelancongan anda.

travel-industry-300x300

Destinasi Pilihan

Pemilihan destinasi berkait rapat dengan bajet anda.  Samada ingin bersuka-ria di Genting Highlands mahupun membeli belah di Ho Chi Minh, Vietnam, kemampuan poket anda haruslah diambil kira dahulu.  Destinasi dalam negara lebih murah berbanding luar negara dan tidak kurang hebatnya, sebagai contoh, Lembah Belum di Perak adalah tempat terbaik untuk anda kembali ke alam semulajadi ataupun Pantai Tok Bali di Kelantan yang menawarkan pantai dengan pasir yang putih lagi bersih serta hasil makanan laut segar.  Jika anda ingin melancong lebih jauh, tempat-tempat di Asia Tenggara masih tidak terlalu mahal.  Selain dari Bali ataupun Phuket, anda boleh juga ke Phnom Penh, Kemboja untuk merasakan pengalaman membeli belah di Pasar Rusia atau lebih dikenali sebagai Toul Tom Puong.

Penginapan

Melancong dengan agensi pelancongan lebih mudah dimana dengan satu pembayaran, segalanya akan diuruskan oleh pihak syarikat namun terdapat agensi yang meletakkan harga tidak masuk akal! Namun, dengan sedikit kesabaran, anda boleh berjimat lebih banyak dengan membuat urusan tempahan hotel sendiri. Jika boleh, carilah penginapan yang menyediakan sarapan pagi.  Terdapat banyak laman yang menyediakan perkhidmatan penempahan hotel bagi destinasi pilihan anda antaranya Booking.com, Trivago.com, Asiaroom.com, Airbnb, Agoda atau Expedia yang juga menyediakan servis menempah tiket kapal terbang.  Jika anda bernasib baik, anda boleh mendapatkan penginapan pada tawaran diskaun sehingga 60%.  Selain dari itu, ada laman seperti Groupon yang menawarkan pakej penginapan pada harga menarik.  Penting disini untuk menitik beratkan faktor keselamatan, keselesaan dan mendapatkan penginapan berkualiti pada harga berpatutan.

Urusan Penerbangan

Tarikh lawatan anda memainkan peranan besar kepada kos penerbangan anda. Penerbangan tambang murah sesuai dengan namanya sentiasa menawarkan harga rendah dan juga promosi-promosi menarik.  Selain Airasia, ada juga Firefly, Malindo Air dan Jetstar (bergantung kepada destinasi). Sewaktu menempah tiket, sila beri perhatian kepada pilihan ‘harga tiket paling murah’ dan buatlah tempahan anda lebih awal dari tarikh makan angin kerana ianya sangat-sangat membantu anda membayar lebih murah.  Semasa membuat perbandingan harga, anda harus teliti kepada kriteria-kriteria lain bagi harga tersebut seperti had bagasi, caj bagasi tambahan, perlindungan insurans serta surcaj lain.   Memandangkan ianya adalah penerbangan tambang murah, caj tambahan akan dikenakan kepada perkhidmatan lain seperti makanan dan minuman semasa dalam perjalanan serta perkhidmatan kerusi roda.

luggage full and ready to travel

Persediaan Lain

  • Ubat-ubatan – Anda mungkin lebih tahu tentang keadaan diri anda.  Persediaan ubat-ubatan dapat membantu anda melancong dengan selesa dan pada masa yang sama dapat mengelakkan anda membelanjakan wang di klinik tempat anda lawati.
  • Makanan Ringan / Makanan Segera – Ini merupakan perkara biasa bagi pelancong.  Bekalan mi segera atau makanan ringan adalah untuk memastikan anda kenyang semasa di tempat orang lebih-lebih lagi jika anda dalam pelancongan bajet.
  • Wang Kecemasan – Wang Kecemasan adalah sejumlah wang yang tidak termasuk dalam bajet jalan-jalan anda.  Ianya adalah sebagai langkah berjaga-jaga jika sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka.  Walaubagaimana ketatpun bajet anda, sentiasa sediakan payung sebelum hujan.
  • Tukaran Wang Asing – Ketika anda membuat tukaran wang asing, anda boleh meminta kepada pengurup wang untuk mendapatkan nota yang lebih kecil.  Ini memudahkan anda membuat pembayaran dan membantu anda mengawal perbelanjaan dengan lebih baik.

Man removes cash from wallet

Perbelanjaan Semasa Melancong

Pengangkutan

Ketika makan angin, anda tentulah mahu mengambil peluang melihat dan meninjau keindahan sekeliling untuk menikmati budaya dan tarikan yang terdapat di situ.  Bergantung kepada keadaan lokasi, anda boleh memilih untuk menyewa kereta, motosikal ataupun skuter untuk aktiviti cuci mata. Atau jika anda risau akan sesat, terdapat teksi yang boleh membawa anda ke tempat tarikan pelancong dengan harga mengikut persetujuan bersama.  Jadi bolehlah anda gunakan kemahiran tawar menawar yang ada untuk situasi sebegini.  Terdapat juga pemandu pelancong sendirian yang boleh diupah untuk membantu anda pergi bersiar.  Cuba bertanya di hotel tempat anda menginap.

Makanan

Antara perkara yang dinantikan apabila melancong ialah peluang menikmati makanan tempatan.  Samada ianya enak, pelik, hampir serupa dengan juadah yang terdapat di tanahair, ianya sesuatu yang mesti dicuba setiap kali berada di tempat orang.  Menjadi pelancong membuatkan anda dianggap sebagai lombong emas kepada penjual makanan dimana mereka cenderung untuk mengenakan harga mahal untuk makanan yang sebenarnya murah.  Jika perlu, bawalah makanan ringan sebagai bekalan kerana aktiviti melancong membuatkan anda sentiasa lapar. Untungnya sekarang ini ada banyak blog makanan yang menerangkan tentang juadah yang disajikan, lingkungan harga serta komen-komen dari bekas pelanggan.  Ini boleh membantu anda mencari restoran atau gerai yang menarik untuk dicuba.

Beli Belah dan Buah Tangan

Jika anda melancong untuk membeli belah seperti ke Korea, Vietnam mahupun ke Bandung, bajet untuk aktiviti membeli belah lebih tinggi dan anda juga harus mengambil kira kos bagasi tambahan serta cukai sewaktu ingin pulang ke tanahair.  Anda haruslah tegas dengan diri anda untuk berpegang kepada jumlah bajet membeli belah agar anda tidak terlebih belanja dan jangan malu untuk tawar menawar lebih-lebih lagi jika anda membeli secara borong.

travel-apps-summers-vacation

Melancong adalah peluang untuk anda meneroka keindahan alam serta menambah pengalaman hidup disamping tiket untuk keluar dari rutin kehidupan seharian.  Jika anda mampu mengubah sudut pandang dan meletakkan sedikit usaha, ianya pasti berbaloi.  Walaupun melancong adalah aktiviti yang menyeronokkan, jangan abaikan keselamatan dan sentiasa beri perhatian kepada barangan berharga milik anda.