Ini adalah satu daripada rahsia kekayaan yang saya peroleh daripada Seminar Wang Power. Satu seminar yang sinerginya adalah dua individu hebat iaitu Dr. Azizan Osman dan Abang Abu (Mekanik Wang).
Dalam seminar ini, mereka menjelaskan kepentingan untuk belajar menyimpan wang. Tidak kira berapa gaji kita, walau RM1,000 sebulan, kita sebenarnya boleh menjadi kaya apabila komited.
Sebagai permulaan, simpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji atau pendapatan kita setiap bulan. Bagi mereka yang masih belum bekerja, simpan 10% daripada duit yang diberikan oleh ibu bapa.
Jika gaji kita RM1,000 sebulan, maka setiap bulan kita simpan RM100 sahaja. Boleh lebih jika mahu tetapi jangan kurang daripada RM100.
Disiplin & Komitmen – Dari RM100 Menjadi RM6,000
Semua ini berkaitan dengan disiplin dan komitmen. Jika kita betul-betul mahu menjadi insan yang kaya wang dalam tempoh 60 bulan akan datang, maka kita akan membuang 1,001 alasan untuk tidak menyimpan.
Dengan menyimpan RM100 sebulan, dalam masa 12 bulan kita akan mempunyai simpanan RM1,200 setahun. Bagaimana pula dalam tempoh 60 bulan dari sekarang?
RM100 x 60 bulan = RM6,000.
Dari 3 angka, ia mampu bertukar menjadi 4 angka dalam masa 60 bulan sahaja. Ini baru RM100. Bagaimana jika kita menyimpan RM300, RM500 atau lebih? Sudah tentu nilainya akan menjadi lebih banyak dalam jangka masa yang panjang.
Dr. Azizan Osman dan Abang Abu sendiri mengaku beliau membuka satu akaun khas untuk menyimpan duit. Jika orang kaya dan berjaya melakukannya, maka ini juga satu petanda yang menyarankan agar kita meniru perbuatan mereka.
Buka Akaun Bank Baru – Kemudian ‘Kunci’ Bank Itu
Mulai hari ini, ambil sedikit masa kita untuk membuka akaun bank simpanan yang baru. Ia khas untuk kita menyimpan wang sekurang-kurangnya 10% setiap bulan. Kemudian kunci akaun bank ini menerusi:
- Membuang buku akaun.
- Tidak membuka akaun bank online (Maybank2u / CIMB Clicks dan sebagainya).
Usah pedulikan akaun bank ini. Apa yang kita perlu lakukan setiap bulan adalah mengagihkan 10% daripada jumlah gaji atau pendapatan ke dalam akaun bank ini. Dalam masa 3 hingga 5 tahun, kita sendiri akan terkejut dengan jumlah amaun yang kita ada.