public-gold-logo-maroon
Bertahan lebih 20 tahun, konsep sedekah rahsia perniagaan Hamidah
Home » Kisah Motivasi  »  Bertahan lebih 20 tahun, konsep sedekah rahsia perniagaan Hamidah
Bertahan lebih 20 tahun, konsep sedekah rahsia perniagaan Hamidah

KUCHING: Konsep bersedekah kepada pelanggan menjadi rahsia perniagaan makanan yang diusahakan Hamidah Rambli mampu bertahan lebih 20 tahun meskipun ditawarkan pada harga rumah.

SEDAP: Hamidah menunjukkan mi jawa yang dijual dengan harga RM1.50 berlatarbelakangkan menu makanan murah.
SEDAP: Hamidah menunjukkan mi jawa yang dijual dengan harga RM1.50 berlatarbelakangkan menu makanan murah.

Berusia 55 tahun, Hamidah tidak berasa rugi menawarkan harga makanan antara RM1 dan RM2 kepada pelanggannya di Warung Hasmida yang terletak di Jalan Lumba Kuda.

Nasi ayam penyet, misalnya, dijual pada harga RM2, manakala mi jawa hanya RM1.50 sementara minuman dari 50 sen hingga RM1 segelas.

Menurutnya, harga murah yang ditawarkan menyebabkan lima pekerjanya sibuk setiap hari sejurus warung dibuka sekitar jam 6.30 pagi hingga 2 petang.

“Sekitar 20 tahun saya berniaga di sini dan masih bertahan biarpun dengan harga murah.

“Sebenarnya masih ada untung, biasanya keuntungan diperolehi boleh digunakan sebagai modal dan membayar gaji pekerja,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

“Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai bangsa dan bidang kerja.

“Ada yang kerja kerajaan, mekanik, pelajar sekolah dan cabang pekerjaan lain,” ujarnya.

Apa yang menarik, katanya, pelanggan baharu biasanya terkejut setiap kali membuat bayaran.

“Pernah pelanggan menyuruh saya mengira semula kerana harga terlalu murah,” jelasnya.

Juadah lain turut dijual termasuk mi laksa dengan harga RM2, mi goreng (RM1), mi sup (RM1.50), nasi ayam (RM2) dan nasi ayam kari (RM2).

Hamidah menjelaskan, tumpuan utama pelanggan ke warungnya adalah mi jawa.

“Selain mi jawa, nasi ayam penyet juga mendapat sambutan baik daripada pelanggan,” kata Hamidah.