Semakin lama, semakin tinggi kos hidup. Tahun ini, dikatakan juga ramai yang akan terkesan dengan GST. Terutamanya mereka di bandaraya makin terasa bebannya dalam menampung keluarga.
Memang tidak dapat dinafikan juga, kini ramai yang mula mencari alternatif lain dalam menjana pendapatan sampingan melalui perniagaan. Namun persoalan yang sangat kerap saya terima adalah…
Perniagaan apa yang perlu dimulakan?
Sering kali di program keusahawanan Internet yang saya jalankan, lebih 50% peserta belum lagi memiliki perniagaan. Mereka masih tercari-cari perniagaan apa yang perlu dimulakan.
Jawapan utama kepada soalan cepu emas ini adalah, sebaik-baiknya mulakan perniagaan yang kita minati. Mulakan perniagaan yang kita suka. Mulakan perniagaan yang kita banggakan.
Amat sukar untuk kita berjaya dalam perniagaan sekiranya kita separuh hati sahaja pada perniagaan tersebut. Kita mulakan perniagaan bukan kerana kawan-kawan mendesak kita mulakan perniagaan, tetapi kita mulakan perniagaan untuk membantu diri kita dan keluarga.
Jarang sekali saya melihat kejayaan dalam perniagaan sekiranya ushawan tersebut tidak minat dengan perniagaan yang dijalankan. Minat ini akan menjadi pendorong kepada kita untuk tidak putus asa. Kalau minat tidak ada, itu yang mengakibatkan perniagaan tersangkut ditengah jalan…
Apa yang memeritkan lagi adalah apabila sudah mengeluarkan beribu atau berpuluh ribu ringgit membeli stok-stok perniagaan yang tidak mampu dijual! Dan sedihnya, keadaan ini sering terjadi.
Dalam perniagaan ilmu adalah sangat penting. Mulakan perniagaan dari bawah dan perlahan-lahan kembangan perniagaan. Kadang-kadang takut juga bila saya mendengar usahawan yang mencari pinjaman berpuluh atau beratus ribu ringgit untuk memulakan perniagaan, namun tiada ilmu dan pengalaman untuk memulakan perniagaan tersebut.
Sepatutnya bukan duit modal yang dicari dulu, tetapi, ilmu dan pengalaman.
Jangan malu untuk bermula kecil. Kalau cita-cita hendak membuka restoran francais, mula dulu dengan menjual kecil-kecilan. Kalau kecil-kecilan pun tak lepas, bagaimana nak berjaya kalau terus buka perniagaan besar?
Ramai usahawan yang berjaya saya kenali bermula kecil. Mencari pengalaman dan ilmu terlebih dahulu supaya cukup ilmu dan pengalaman untuk membesarkan perniagaan mereka kelak.
Memang bermula besar terus, nampak gah, nampak hebat, nampak power macam orang-orang kaya. Tetapi, fikirkan pula risiko yang diambil sekiranya perniagaan tersebut tidak menjadi.
Niat hendak membantu diri dan keluarga ketika kos hidup semakin tinggi, takut pula risiko yang kita ambil akan memudaratkan lagi keluarga.
Jadi, jawapan kepada soalan utama kita, hendak mula perniagaan apa? Jawapannya adalah perniagaan yang mengikut minat kita. Namun, perlu ingat juga bahawa ilmu dan pengalaman diperlukan untuk menjalankan perniagaan berjaya.
Dalam perniagaan, utamakan minat dan ilmu. Sekiranya niat kita dan cara berniaga kita jalankan mengikut sunnah, maka keuntungan dan duitnya InsyaAllah akan datang juga bersama rezeki-rezeki yang lain.