Artikel ini saya secara peribadi telah mendapat izin dari Tuan Norizan Bin Sharif untuk dimuatkan dalam laman web www.hafizulhakim.com
====
2 GELAGAT PELANGGAN YANG SAYA BELAJAR DENGAN JUAL MANGGA
"Agak-agak boleh jual 300 kg mangga dalam sehari?" saya tanya anak-anak.Mereka kata, jom kita cuba. Kami letakkan sasaran jualan 300 kg mangga bukan dalam tempoh sehari, tetapi 150 minit saja. Buka 5 petang, tutup 7.30 malam, menjelang Maghrib. Alhamdulillah, dalam hujan renyai-renyai petang tadi kami menjual kesemua 300 kg mangga dalam masa dua jam 30 minit.
Buka belakang kereta dan gantung iklan yang direkabentuk dengan menarik.Dalam tempoh itu saya belajar mengenai gelagat pelanggan, dan ini merupakan pengalaman bernilai bagi usahawan. 1. Kalau pelanggan suka dengan sesuatu produk, dia akan datang beli walaupun jauh. Ada pelanggan yang datang dari Putrajaya untuk beli 3 kg mangga chokanan di Shah Alam. 2. Pelanggan sedia bayar kos tambahan untuk beli produk yang dia suka. Seorang pelanggan dari Kinrara mengupah runner untuk ambil mangga di Shah Alam. 3. Hujan pun hujanlah. Pelanggan sanggup bersusah-payah untuk beli produk yang dia suka. Sekarang saya faham kenapakah orang sanggup berhujan untuk menonton pasukan bolasepak atau persembahan artis kesukaan. 4. Sekiranya pelanggan suka, dia akan tulis di media sosial. Puan Nor Ilda Amiza Ismail mengidam pulut mangga pagi esok dan beliau berkongsi mengenainya di Facebook. Ada beberapa orang pembeli hantar gambar mangga yang telah dipotong kepada saya. 5. Kita kena permudahkan pelanggan. Apabila menjaja di tepi jalan, hantar mangga kepada pelanggan di dalam kereta. Mereka suka. 6. Seorang pelanggan mula-mula beli 3 kg. Selepas itu datang beli 3 kg lagi. Sebelum balik, datang semula dan beli lagi 3 kg. Akhir sekali, dia beli 9 kg. Nak dapat pelanggan berulang, layan dia dengan baik. 7. Ada seorang pelanggan melaungkan kepada orang ramai di kawasan itu untuk beli mangga chokanan. Kita tak perlu suruh, pelanggan sendiri akan promosi sekiranya produk ini mempunyai nilai yang serasi dengannya. 8. Malam ini saya dapat banyak mesej di inbox dan WhatsApp nak tambah beli mangga. Saya mohon maaf, kesemua mangga sudah habis dijual. Sekiranya pelanggan berpuas-hati, dia akan datang semula. Insya-Allah, nanti kita jual mangga dan buah-buahan lain. 9. Seorang pelanggan membeli 30 kg mangga. Dia kata nak beri kepada jiran-jiran. Kalau pelanggan suka, dia akan berkongsi dengan orang lain. Word of Mouth (WOM) adalah alatan pemasaran yang baik. 10. Pelanggan boleh dipujuk untuk membeli. Seorang pelanggan ingin beli 3 kg mangga. Apabila kita cadangkan beli 6 kg, dia senyum dan geleng kepala tak mahu. "Belilah 3 kg untuk makan dan 3 kg lagi untuk buat minum." Dia kata, "Betul juga. Minta 6 kg mangga!" 11. Usah berahsia harga. Harga mangga yang kami jual dipaparkan secara terbuka. Usah minta pelanggan PM untuk tanya harga. Apabila peniaga berahsia, kepercayaan pelanggan turun. Buat apa nak berahsia, kita bukan jual dadah. 12. Bina jenama peribadi yang sesuai. Orang mudah beli dengan seseorang yang mereka kenali. Tips ini sesuai diguna pakai oleh semua peniaga kerana telah terbukti berjaya! Terima kasih di ucapkan kepada tuan Norizan Bin Sharif atas perkongsian ini. Alhamdulillah, dapat satu lagi ilmu berniaga yang baru.